ANTONIM DALAM BIDANG ILMU
SEMANTIK
Oleh : Noor Shahlinda Binti
Endang Triana
Bidang
linguistik merupakan bidang yang telah lama dikaji oleh pengkaji bahasa di
Malaysia dan di serata dunia. Pengkajian bidang ini adalah sangat penting sejak
dahulu sehinggalah kini. Tidak hairanlah, subjek ini diajar di peringkat
tinggi seperti di institusi pengajian tinggi, institut perguruan, hingga ke
peringkat yang lebih rendah, iaitu di sekolah-sekolah sama ada sekolah menengah
ataupun sekolah rendah. Jelasnya, subjek ini terus menjadi penting walaupun
negara telah menuju ke arah globalisasi yang menjadikan teknologi sebagai fokus
utama.
Istilah
linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua yang membawa maksud “bahasa”. Dalam bahasa-bahasa "Roman" (iaitu bahasa-bahasa
yang berasal daripada bahasa Latin), iaitu langue dan langage dalam bahasa
Perancis dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya, bahasa Inggeris memungut
kata daripada bahasa Perancis ini menjadi language. Istilah “linguistics” dalam bahasa Inggeris
adalah berkaitan dengan kata language tersebut, seperti juga dalam bahasa
Perancis, istilah linguistique adalah berkaitan dengan language. Dalam bahasa
Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu, dan kata
adjektifnya adalah linguistic
atau "linguistik".
Di dalam
bahasa Melayu, istilah ahli linguistik disebut "linguis" yang
dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris linguist. Manakala dalam penggunaan
bahasa Inggeris seharian, istilah linguist merujuk kepada makna
"seseorang yang fasih dalam berbagai bahasa". Dalam istilah ilmiah
pula, linguist dapat diertikan sebagai ahli bahasa.
Terdapat
banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak
dahulu hingga kini. Menurut Verhaar (1985: 1), kata linguistik berasal daripada
kata Latin iaitu lingua yang bermaksud bahasa. Seterusnya, David Crystal (1973)
menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Ini bermakna
bahawa bahasa-bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang
tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri.
Berdasarkan
pandangan tokoh-tokoh tersebut, kita dapat merumuskan bahawa linguistik
merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam dan teliti yang memberi
penekanan kepada bidang kajian bahasa secara khusus serta menghubungkan bahasa
dengan ilmu disiplin yang lain.
Dalam
bidang linguistik, semantik merupakan kajian makna istilah. Perkataan ini
berasal daripada perkataan Greek “semantikos”
yang membawa maksud “erti yang penting”. Semantik (Bahasa Yunani): semantikos, memberikan tanda, penting, dari
kata sema, tanda) adalah cabang
linguistik yang mempelajari makna yang
terkandung pada suatu bahasa, kod atau jenis representasi lain. Semantik
biasanya dibezakan dengan dua aspek lain dari ekspresi makna: sintaksis,
pembentukan simbol kompleks dari simbol yang lebih sederhana, serta pragmatik, penggunaan praktis simbol
oleh agen atau komuniti pada suatu keadaan atau konteks tertentu.
Menurut
Abdullah Hassan (1992: 1) semantik ialah istilah yang merujuk kepada kajian
makna. Kajian makna kata dalam bahasa melayu menurut sistem penggolongan
semantik adalah cabang linguistik yang berperanan semata-mata untuk meneliti
makna kata, bagaimana asal mulanya, bahkan bagaimana perkembangannya dan apakah
sebab-sebab terjadi perubahan makna dalam sejarah bahasa. J.W.M. Verhaar (1996:
13) berpendapat bahawa “Semantik adalah cabang linguistik yang akan mambahas
erti atau makna”. Abdul Chaer (1994: 284) mengatakan “semantik merupakan bidang
kajian linguistik yang mana objek penelitiannya adalah makna bahasa”.
Daripada
makna-makan yang dikemukakan oleh ahli-ahli semantik tersebut, kita dapat
menyimpulkan bahawa semantik merupakan salah satu cabang kajian linguistik yang
membahas tentang makna. Oleh sebab bahasa itu digunakan untuk berbagai-bagai
kegiatan dan keperluan dalam kehidupan bermasyarakat, maka makna bahasa itu pun
menjadi berbagai-bagai jika dilihat dari segi atau pandangan yang berbeza.
Abdul Chaer (1994: 289-296) membahagikan jenis-jenis makna sebagai makna
leksikal, gramatikal, konteksual, referensial dan non referensial, denotatif,
konotatif, konseptual, asiosiatif, kata, istilah, idiom serta makna peribahasa.
Makna
leksikal adalah makna yang sebenarnya, makna yang sesuai dengan hasil
pemerhatian kita, rupanya atau makna ynag terdapat dalam kamus. Makna
gramatikal pula adalah bidang kajian semantik yang mengkaji makna yang hadir
akibat adanya proses gramatikal seperti pengimbuhan, penyisipan, penggandaan
dan pemajmukan. Makna kontekstual adalah makna sebuah leksem atau kata yang
berada di dalam suatu konteks. Makna konteks boleh juga berkenaan dengan
situasinya iaitu tempat, waktu dan lingkungan penggunaan bahasa itu. Makna
referensial merupakan sesuatu kata yang disebut bermakna referensial jika ada
referensialnya atau acuannya. Kata-kata seperti kuda, merah, dan
gambar adalah termasuk dalam golongan kata bermakna referensial
kerana ada acuannya dalam dunia nyata. Sebaliknya, kata-kata seperti itu,
ini, atau, dan kerana adalah termasuk dalam
kumpulan kata-kata yang tidak bermakna referensial, kerana tidak mempunyai
acuan atau referens. Makna denotatif ialah makna asli, atau makna
sebenarnya yang dimiliki oleh sesuatu kata. Makna konotatif adalah makna lain
yang ditambahkan pada makna denotatif tadi yang berhubungan dengan nilai rasa
dari orang atau kelompok orang yang menggunakan kata tersebut.
Makna
konseptual adalah makna yang dimiliki oleh sebuah leksem terlepas dari konteks
atau asosiasi apa pun. Makna asosiatif adalah makna yang dimiliki sebuah leksem
atau kata berkenaan dengan adanya hubungan kata itu dengan sesuatu yang berada
di luar bahasa. Makna asosiatif ini sebenarnya sama dengan lambang atau
perlembagaan yang digunakan oleh suatu masyarakat pengguna bahasa untuk
menyatakan konsep lain. Pada pandangan Leech (1976) seperti yang dipetik oleh
Abdul Chaer (1994: 294), tentang makna asosiasi menyatakan bahawa “dalam makna
asiosiasi ini juga dimasukkan juga yang disebut makna konotatif, makna
stilistik, makna efektif dan makna kolokatif”. Makna kata merupakan setiap kata
atau leksem memiliki makna. Pada awalnya, makna yang dimiliki sesuatu kata
adalah makna leksikal, makna denotatif atau makna konseptual. Namun dalam
penggunaan makna kata itu baru menjadi jelas jika kata itu sudah berada dalam
konteks kalimat atau konteks situasinya. Yang di sebut sebagai istilah adalah
yang mempunyai makna yang pasti, jelas dan tidak meragukan, meskipun tanpa
konteks ayat. Apa yang perlu diingat adalah bahawa sesuatu istilah itu hanya
digunakan pada bidang ilmu atau kegiatan
tertentu. Idiom pula adalah satuan ujaran yang maknanya tidak dapat diramalkan
dari makna unsur-unsurnya baik secara leksikal mahupun gramatikal. Peribahasa
pula berbeza dengan idiom yang maknanya tidak dapat diramalkan secara leksikal
mahupun gramatikal, maka yang disebut sebagai peribahasa memiliki makna yang
masih dapat ditelusuri dari makna unsur-unsurnya.
Yang
dimaksudkan dengan relasi makna adalah hubungan semantik yang terdapat antara
satuan bahasa yang satu dengan satuan bahasa lainnya. Satuan bahasa disini
dapat berupa kata, frase, mahupun
kalimat dan relasi semantik itu dapat menyatakan kesamaan makna, pertentangan makna,
ketercakupan makna, kegandaan makna, atau juga kelebihan makna. Dalam
perbicaraan tentang relasi makna ini biasanya akan dibicarakan masalah-masalah
yang disebut sinonim, antonim, polisemi, homonimi, hiponimi, ambiguiti, dan
redundansi. Namun dalam penulisan ini lebih tertumpu kepada perbicaraan tentang
antonim.
Dalam
kajian ilmu linguistik menurut Abdullah Hassan dalam bukunya, antonim merupakan
kajian linguistik yang tergolong dalam ilmu semantik tradisional. Antonim
dapat diistilahkan sebagai perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 69)
maksud antonim ialah kata
yang berlawanan maknanya dengan kata lain. Perkataan antonim berasal daripada
perkataan Yunani kuno, iaitu "anoma" yang bererti
"nama" dan "anti" yang bererti
"melawan". Oleh itu, antonim bermaksud perkataan yang maknanya
dianggap berlawanan atau kebalikan daripada perkataan lain. Huraian tersebut
dilihat menyokong pendapat terdahulu yang dikemukakan oleh Abdullah Hassan
(1992: 164, dalam Darwis Harahap, 1994: 33), yang dimaksudkan dengan antonim
ialah dua perkataan atau lebih yang maknanya seolah-olah berlawanan.
Contoh-contoh
perkataan yang biasa disebut antonim ialah besar lawannya kecil, lebar lawannya
sempit, gemuk lawannya kurus, nipis lawannya tebal dan banyak lagi. Dalam
penggunaan ayat, antara contoh-contoh ayat yang membawa makna berantonim adalah
seperti “meskipun dia miskin, tetapi dia tetap kaya dengan budi bahasa”,
“walaupun mereka adik-beradik, namun kedua-duanya berbeza kerana kakaknya
kurus, manakala, adiknya pula gemuk” dan “mereka tetap saling mengingati
walaupun bertahun-tahun terpisah, bak kata pujangga jauh di mata dekat di
hati”.
Dalam
penulisan ini, antonim juga mempunyai tiga bahagian utama iaitu antonim
berpasangan, antonim berperingkat dan juga antonim berhubungan. Menurut
Abdullah Hassan (2005: 230), antonim berpasangan atau disebut
sebagai kekomplimentarian, merupakan kata nama yang sering dianggap mempunyai
makna yang berlawan, tetapi sebenarnya jika diteliti dengan lebih mendalam
ianya sesuai dianggap sebagai berpasangan.
Walaubagaimanapun,
dalam penulisan ini, antonim akan dibincangkan melalui tiga bahagian utama
iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan juga antonim berhubungan.
Antonim berpasangan atau nama lainnya juga disebut sebagai kekomplimentarian,
merupakan kata nama yang sering dianggap mempunyai makna berlawan, tetapi
apabila diteliti lebih sesuai dianggap sebagai pasangan (Abdullah Hassan, 2005:
230). Item-item yang biasanya dilihat saling melengkapi antara satu sama lain,
misalnya lelaki/perempuan,
berkahwin/bujang, hidup/mati dan
siang/malam. Dalam hubungan komplimentarian ini, apabila kita mengatakan
seseorang itu berkahwin adalah serupa dengan mengatakan dia tidak bujang.
Sebenarnya
yang sedia maklum kita ketahui bukan mudah untuk meletakkan kata-kata antonim
sebagai komplementer kerana misalnya, jika sesuatu itu bukan jantan, maka ia
mesti betina, sebab boleh jadi sesuatu itu sebenarnya tidak bernyawa (Abdullah
Hassan, 1989: 106). Menurut beliau lagi, jantan dan betina hanya dibincangkan
kepada benda-benda bernyawa.
Kata
adjektif merupakan golongan kata yang paling kerap dikaitkan dengan antonim
berperingkat. Contoh antonim kata adjektif atau kata sifat termasuklah putih
lawannya hitam, tua lawannya muda, kecil lawannya besar, lebar lawannya sempit,
dekat lawannya jauh dan banyak lagi. Sungguhpun begitu, perlawanan makna
sesetengah kata adjektif agak berbeza sedikit. Abdullah Hassan (2005: 230)
menjelaskan bahawa perbezaan ini melibatkan beberapa peringkat. Misalnya, lebar
lawannya sempit, bergantung kepada konteks ayat atau ujaran itu sendiri seperti
“sebuah taman yang kecil adalah lebih
besar daripada sebuah televisyen yang
besar”, “sekeping papan yang lebar adalah lebih kecil daripada sebuah sungai yang lebar”, “seluar panjang jauh lebih pendek jika dibandingkan dengan galah pendek” dan “istana kecil
jauh lebih besar daripada buku besar”.
Edward
Sapir menghujahkannya sebagai bentuk pemeringkatan. Beliau mengendalikannya
dengan mengambil contoh dalam bahasa inggeris (yang berakhir dengan –er atau
wujud dengan more) adalah diperingatkan secara eksplisit, kerana untuk
mengatakan bahawa sebatang jalan itu wider
(lebih lebar) daripada yang lain, seorang budak older (lebih tua) daripada yang lain, bermakna hujahan perlu
dibuat dalam suatu skala pemeringkatan
untuk perbandingan. Sapir menjelaskan lagi dengan menghujahkan bahawa bentuk
perbandingan ini didahului oleh bentuk yang mudah (iaitu terbentuk dengan
menambah er dan more).
Selain
itu, pemeringkatan kata sifat juga dilakukan mengikut norma yang berlainan.
Misalnya, apabila kita mengatakan bahawa tidak ramai orang yang hadir, mungkin
maknanya hanya empat atau lima orang sahaja, jika isinya adalah jamuan kecil.
Namun begitu, pengertian ini berbeza sekiranya isi yang dimaksudkan adalah
majlis kenduri kahwin yang mungkin jumlahnya bersamaan lima puluh atau seratus
orang. Secara mudahnya, pemeringkatan ini juga berlaku dengan melihat item-item
pada objek yang dijelaskan. Hakikatnya, terdapat begitu banyak antonim yang
wujud dalam bentuk perbandingan. Antara contoh mudah yang dapat dijelaskan
adalah seperti “jalan lebih lebar
daripada lorong”, lorong lebih sempit
daripada jalan”, “jalan kurang sempit
daripada lorong” dan “lorong kurang lebar
daripada jalan”.
Oleh
sebab adanya antonim yang melalui proses peningkatan, maka akan wujud perkataan
perantara. Misalnya, jika perkataan hot (panas), antonimnya bukan sahaja
perkataan cold (sejuk), tetapi juga perkataan hot (hangat) / warm (panas) /
cool (dingin) / cold (sejuk) dengan perkataan perantaraan warm (panas) dan cold
(dingin) sebagai satu pasangan antonim dengan sendirinya. Hal ini menjelaskan
sekali lagi bahawa kata antonim sebenarnya bukanlah mempunyai satu pasangan
sahaja secara mutlak.
Menurut
Abdullah Hassan (2005: 230), antonim berhubungan ialah perkataan yang berlawan
makna, tetapi maknanya berhubungan. Antonim berhubungan juga sering disebut
sebagai konversi (converses) iaitu
hubungan antara dua maujud dari sudut pandangan berganti. Menurut Abdullah
Hassan pada buku hasil tulisan F.R. Palmer (1989: 107) menyatakan beberapa
jenis perkataan bertentangan yang
berlainan terdapat dalam pasangan perkataan tertentu yang menunjukkan
perhubungan yang boleh diterbalikkan di antara butirnya. Terdapat beberapa
contoh yang dapat diambil, misalnya “ guru
lawan murid”, “turun lawan naik”, “majikan lawan pekerja”, “beli lawan jual”, dan “ suami lawan isteri”.
Pasangan
perkataan yang berlawan makna ini menunjukkan adanya perhubungan makna. Selain
itu, ayat aktif dan pasif juga boleh menunjukkan hubungan yang bertentangan
seperti, jika Ali memukul Abu, maka
Abu dipukul oleh Ali. Abdullah Hassan
(2005: 231) menambah lagi dengan menjelaskan, perkataan berlawan jenis ini dapat
ditimbulkan apabila kita diberi satu daripada perkataannya. Contohnya, apabila
kita diberi perkataan penjual, maka
kita akan memberi lawannya sebagai pembeli dan
seterusnya.
Dalam
konteks antonim berhubungan, istilah kekeluargaan merupakan perkara yang
menarik untuk dibincangkan. Hal ini disebabkan oleh dua perkara iaitu,
pertamanya, kebanyakkan menunjukkan
bukan sahaja hubungan tetapi juga jantina orang yang berkenaan. Keduanya
pula adalah sama ada sesuatu perkataan itu simetris atau tidak, terpulanglah
kepada bahasa itu sendiri.
Bagi
perkara pertama, dapatlah kita fahami dengan mengambil contoh, bapa adalah lelaki, maka daughter adalah anak perempuan dan hal
sebegini menghalang keterbalikan seperti prinsip asal antonim iaitu mampu
memiliki sifat kebalikan. Hal ini demikian kerana, jika kita mengatakan Chong
bapa kepada Sam, belum sahih lagi Sam itu anak lelaki Chong, barangkali Sam adalah anak perempuan Chong.
Palmer (Abdullah Hassan, 1989: 109) menyebut bahawa dalam konteks ini, terdapat
pasangan yang menunjukkan hubungan yang sama tetapi berlainan jantina seperti father / mother, son / daughter, uncle /
aunt, nephew / niece. Walaubagaimanapun, ada juga pasangan perkataan yang
sepatutnya menjadi simetris tetapi tidak begitu kerana jantinanya.
Perkara
kedua pula merujuk simetris dalam makna ayat. Dalam bahasa inggeris, to be married disifatkan sebagai
simetris kerana sama seperti spous,
ia tidak menunjukkan jantina. Begitulah juga kebanyakkan bahasa tidak mempunyai
perkataan simetris. Maka, jantinanya perlu dijelaskan atau kepersisan hubungan
antara ibu bapanya juga perlu dijelaskan. Hubungan brother dan sister dalam
sesetengah bahasa bukan sahaja terikat dengan jantina, tetapi juga dengan umur
anak itu (Abdullah Hassan, 1989: 109)
Sebagai
rumusannya, antonim atau kata berlawanan makna dapat dibahagikan kepada
bahagian utama iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan antonim
berhubungan. Secara amnya, antonim sememangnya difahami sebagai kata
berlawanan, namun begitu jika diperincikan mengikut golongan kata seperti kata
nama, kata sifat dan kata kerja, maka kita akan mendapati bahawa makna antonim
sebagai kata berlawanan, pada hakikatnya tidak bersifat mutlak.
Sebenarnya,
terlalu banyak perkataan yang bertentangan atau berlawanan makna, namun kata
tersebut lebih menjurus kepada pertentangan kepada makna-makna tertentu.
Misalnya, kata nama yang berantonim lebih sesuai dianggap sebagai berpasangan.
Kata adjektif pula lebih bersesuaian dengan antonim berperingkat dan dapat
dibeza-bezakan bergantung kepada konteks ayat. Antonim jenis yang ketiga pula
lebih banyak melibatkan kata kerja yang dikelaskan dibawah antonim berhubungan.
Tuntasnya, antonim ternyata salah satu stail pemberian makna secara kaedah
tradisional dalam semantik. Sungguhpun begitu, lazimnya antonim hanya diketahui
umum sebagai kata berlawanan makna semata-mata.
No comments:
Post a Comment