Saturday, November 22, 2014

ARTIKEL

ANTONIM DALAM BIDANG ILMU SEMANTIK
Oleh : Noor Shahlinda Binti Endang Triana

Bidang linguistik merupakan bidang yang telah lama dikaji oleh pengkaji bahasa di Malaysia dan di serata dunia. Pengkajian bidang ini adalah sangat penting sejak dahulu sehinggalah kini. Tidak hairanlah, subjek ini diajar di peringkat  tinggi seperti di institusi pengajian tinggi, institut perguruan, hingga ke peringkat yang lebih rendah, iaitu di sekolah-sekolah sama ada sekolah menengah ataupun sekolah rendah. Jelasnya, subjek ini terus menjadi penting walaupun negara telah menuju ke arah globalisasi yang menjadikan teknologi sebagai fokus utama.

Istilah linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua yang membawa maksud “bahasa”. Dalam bahasa-bahasa "Roman" (iaitu bahasa-bahasa yang berasal daripada bahasa Latin), iaitu langue dan langage dalam bahasa Perancis dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya, bahasa Inggeris memungut kata daripada bahasa Perancis ini menjadi language. Istilah “linguistics” dalam bahasa Inggeris adalah berkaitan dengan kata language tersebut, seperti juga dalam bahasa Perancis, istilah linguistique adalah berkaitan dengan language. Dalam bahasa Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu, dan kata adjektifnya adalah linguistic atau "linguistik".

Di dalam bahasa Melayu, istilah ahli linguistik disebut "linguis" yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris linguist. Manakala dalam penggunaan bahasa Inggeris seharian, istilah linguist merujuk kepada makna  "seseorang yang fasih dalam berbagai bahasa". Dalam istilah ilmiah pula, linguist dapat diertikan sebagai ahli bahasa.

Terdapat banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak dahulu hingga kini. Menurut Verhaar (1985: 1), kata linguistik berasal daripada kata Latin iaitu lingua yang bermaksud bahasa. Seterusnya, David Crystal (1973) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Ini bermakna bahawa bahasa-bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri.

 Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh tersebut, kita dapat merumuskan bahawa linguistik merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam dan teliti yang memberi penekanan kepada bidang kajian bahasa secara khusus serta menghubungkan bahasa dengan ilmu disiplin yang lain.

Dalam bidang linguistik, semantik merupakan kajian makna istilah. Perkataan ini berasal daripada perkataan Greek “semantikos” yang membawa maksud “erti yang penting”. Semantik (Bahasa Yunani): semantikos, memberikan tanda, penting, dari kata sema, tanda) adalah cabang linguistik yang mempelajari makna yang  terkandung pada suatu bahasa, kod atau jenis representasi lain. Semantik biasanya dibezakan dengan dua aspek lain dari ekspresi makna: sintaksis, pembentukan simbol kompleks dari simbol yang lebih sederhana, serta pragmatik, penggunaan praktis simbol oleh agen atau komuniti pada suatu keadaan atau konteks tertentu.

Menurut Abdullah Hassan (1992: 1) semantik ialah istilah yang merujuk kepada kajian makna. Kajian makna kata dalam bahasa melayu menurut sistem penggolongan semantik adalah cabang linguistik yang berperanan semata-mata untuk meneliti makna kata, bagaimana asal mulanya, bahkan bagaimana perkembangannya dan apakah sebab-sebab terjadi perubahan makna dalam sejarah bahasa. J.W.M. Verhaar (1996: 13) berpendapat bahawa “Semantik adalah cabang linguistik yang akan mambahas erti atau makna”. Abdul Chaer (1994: 284) mengatakan “semantik merupakan bidang kajian linguistik yang mana objek penelitiannya adalah makna bahasa”.

Daripada makna-makan yang dikemukakan oleh ahli-ahli semantik tersebut, kita dapat menyimpulkan bahawa semantik merupakan salah satu cabang kajian linguistik yang membahas tentang makna. Oleh sebab bahasa itu digunakan untuk berbagai-bagai kegiatan dan keperluan dalam kehidupan bermasyarakat, maka makna bahasa itu pun menjadi berbagai-bagai jika dilihat dari segi atau pandangan yang berbeza. Abdul Chaer (1994: 289-296) membahagikan jenis-jenis makna sebagai makna leksikal, gramatikal, konteksual, referensial dan non referensial, denotatif, konotatif, konseptual, asiosiatif, kata, istilah, idiom serta makna peribahasa.

Makna leksikal adalah makna yang sebenarnya, makna yang sesuai dengan hasil pemerhatian kita, rupanya atau makna ynag terdapat dalam kamus. Makna gramatikal pula adalah bidang kajian semantik yang mengkaji makna yang hadir akibat adanya proses gramatikal seperti pengimbuhan, penyisipan, penggandaan dan pemajmukan. Makna kontekstual adalah makna sebuah leksem atau kata yang berada di dalam suatu konteks. Makna konteks boleh juga berkenaan dengan situasinya iaitu tempat, waktu dan lingkungan penggunaan bahasa itu. Makna referensial merupakan sesuatu kata yang disebut bermakna referensial jika ada referensialnya atau acuannya. Kata-kata seperti kuda, merah, dan gambar adalah termasuk dalam golongan kata bermakna referensial kerana ada acuannya dalam dunia nyata. Sebaliknya, kata-kata seperti itu, ini, atau, dan kerana adalah termasuk dalam kumpulan kata-kata yang tidak bermakna referensial, kerana tidak mempunyai acuan atau referens. Makna denotatif ialah makna asli, atau makna sebenarnya yang dimiliki oleh sesuatu kata. Makna konotatif adalah makna lain yang ditambahkan pada makna denotatif tadi yang berhubungan dengan nilai rasa dari orang atau kelompok orang yang menggunakan kata tersebut.

Makna konseptual adalah makna yang dimiliki oleh sebuah leksem terlepas dari konteks atau asosiasi apa pun. Makna asosiatif adalah makna yang dimiliki sebuah leksem atau kata berkenaan dengan adanya hubungan kata itu dengan sesuatu yang berada di luar bahasa. Makna asosiatif ini sebenarnya sama dengan lambang atau perlembagaan yang digunakan oleh suatu masyarakat pengguna bahasa untuk menyatakan konsep lain. Pada pandangan Leech (1976) seperti yang dipetik oleh Abdul Chaer (1994: 294), tentang makna asosiasi menyatakan bahawa “dalam makna asiosiasi ini juga dimasukkan juga yang disebut makna konotatif, makna stilistik, makna efektif dan makna kolokatif”. Makna kata merupakan setiap kata atau leksem memiliki makna. Pada awalnya, makna yang dimiliki sesuatu kata adalah makna leksikal, makna denotatif atau makna konseptual. Namun dalam penggunaan makna kata itu baru menjadi jelas jika kata itu sudah berada dalam konteks kalimat atau konteks situasinya. Yang di sebut sebagai istilah adalah yang mempunyai makna yang pasti, jelas dan tidak meragukan, meskipun tanpa konteks ayat. Apa yang perlu diingat adalah bahawa sesuatu istilah itu hanya digunakan pada bidang ilmu atau  kegiatan tertentu. Idiom pula adalah satuan ujaran yang maknanya tidak dapat diramalkan dari makna unsur-unsurnya baik secara leksikal mahupun gramatikal. Peribahasa pula berbeza dengan idiom yang maknanya tidak dapat diramalkan secara leksikal mahupun gramatikal, maka yang disebut sebagai peribahasa memiliki makna yang masih dapat ditelusuri dari makna unsur-unsurnya.

Yang dimaksudkan dengan relasi makna adalah hubungan semantik yang terdapat antara satuan bahasa yang satu dengan satuan bahasa lainnya. Satuan bahasa disini dapat  berupa kata, frase, mahupun kalimat dan relasi semantik itu dapat menyatakan  kesamaan makna, pertentangan makna, ketercakupan makna, kegandaan makna, atau juga kelebihan makna. Dalam perbicaraan tentang relasi makna ini biasanya akan dibicarakan masalah-masalah yang disebut sinonim, antonim, polisemi, homonimi, hiponimi, ambiguiti, dan redundansi. Namun dalam penulisan ini lebih tertumpu kepada perbicaraan tentang antonim.

Dalam kajian ilmu linguistik menurut Abdullah Hassan dalam bukunya, antonim merupakan kajian linguistik yang tergolong dalam ilmu semantik tradisional.  Antonim dapat diistilahkan sebagai perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 69) maksud antonim ialah kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain. Perkataan antonim berasal daripada perkataan Yunani kuno, iaitu "anoma" yang bererti "nama" dan "anti" yang bererti "melawan". Oleh itu, antonim bermaksud perkataan yang maknanya dianggap berlawanan atau kebalikan daripada perkataan lain. Huraian tersebut dilihat menyokong pendapat terdahulu yang dikemukakan oleh Abdullah Hassan (1992: 164, dalam Darwis Harahap, 1994: 33), yang dimaksudkan dengan antonim ialah dua perkataan atau lebih yang maknanya seolah-olah berlawanan.

Contoh-contoh perkataan yang biasa disebut antonim ialah besar lawannya kecil, lebar lawannya sempit, gemuk lawannya kurus, nipis lawannya tebal dan banyak lagi. Dalam penggunaan ayat, antara contoh-contoh ayat yang membawa makna berantonim adalah seperti “meskipun dia miskin, tetapi dia tetap kaya dengan budi bahasa”, “walaupun mereka adik-beradik, namun kedua-duanya berbeza kerana kakaknya kurus, manakala, adiknya pula gemuk” dan “mereka tetap saling mengingati walaupun bertahun-tahun terpisah, bak kata pujangga jauh di mata dekat di hati”.

Dalam penulisan ini, antonim juga mempunyai tiga bahagian utama iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan juga antonim berhubungan. Menurut Abdullah Hassan (2005: 230), antonim berpasangan atau disebut sebagai kekomplimentarian, merupakan kata nama yang sering dianggap mempunyai makna yang berlawan, tetapi sebenarnya jika diteliti dengan lebih mendalam ianya sesuai dianggap sebagai berpasangan.

Walaubagaimanapun, dalam penulisan ini, antonim akan dibincangkan melalui tiga bahagian utama iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan juga antonim berhubungan. Antonim berpasangan atau nama lainnya juga disebut sebagai kekomplimentarian, merupakan kata nama yang sering dianggap mempunyai makna berlawan, tetapi apabila diteliti lebih sesuai dianggap sebagai pasangan (Abdullah Hassan, 2005: 230). Item-item yang biasanya dilihat saling melengkapi antara satu sama lain, misalnya lelaki/perempuan, berkahwin/bujang, hidup/mati dan siang/malam. Dalam hubungan komplimentarian ini, apabila kita mengatakan seseorang itu berkahwin adalah serupa dengan mengatakan dia tidak bujang.

Sebenarnya yang sedia maklum kita ketahui bukan mudah untuk meletakkan kata-kata antonim sebagai komplementer kerana misalnya, jika sesuatu itu bukan jantan, maka ia mesti betina, sebab boleh jadi sesuatu itu sebenarnya tidak bernyawa (Abdullah Hassan, 1989: 106). Menurut beliau lagi, jantan dan betina hanya dibincangkan kepada benda-benda bernyawa.

Kata adjektif merupakan golongan kata yang paling kerap dikaitkan dengan antonim berperingkat. Contoh antonim kata adjektif atau kata sifat termasuklah putih lawannya hitam, tua lawannya muda, kecil lawannya besar, lebar lawannya sempit, dekat lawannya jauh dan banyak lagi. Sungguhpun begitu, perlawanan makna sesetengah kata adjektif agak berbeza sedikit. Abdullah Hassan (2005: 230) menjelaskan bahawa perbezaan ini melibatkan beberapa peringkat. Misalnya, lebar lawannya sempit, bergantung kepada konteks ayat atau ujaran itu sendiri seperti “sebuah taman yang kecil adalah lebih besar daripada sebuah televisyen yang besar”, “sekeping papan yang lebar adalah lebih kecil daripada sebuah sungai yang lebar”, “seluar panjang jauh lebih pendek jika dibandingkan dengan galah pendek” dan “istana kecil jauh lebih besar daripada buku besar”.

Edward Sapir menghujahkannya sebagai bentuk pemeringkatan. Beliau mengendalikannya dengan mengambil contoh dalam bahasa inggeris (yang berakhir dengan –er atau wujud dengan more) adalah diperingatkan secara eksplisit, kerana untuk mengatakan bahawa sebatang jalan itu wider (lebih lebar) daripada yang lain, seorang budak older (lebih tua) daripada yang lain, bermakna hujahan perlu dibuat  dalam suatu skala pemeringkatan untuk perbandingan. Sapir menjelaskan lagi dengan menghujahkan bahawa bentuk perbandingan ini didahului oleh bentuk yang mudah (iaitu terbentuk dengan menambah er dan more).

Selain itu, pemeringkatan kata sifat juga dilakukan mengikut norma yang berlainan. Misalnya, apabila kita mengatakan bahawa tidak ramai orang yang hadir, mungkin maknanya hanya empat atau lima orang sahaja, jika isinya adalah jamuan kecil. Namun begitu, pengertian ini berbeza sekiranya isi yang dimaksudkan adalah majlis kenduri kahwin yang mungkin jumlahnya bersamaan lima puluh atau seratus orang. Secara mudahnya, pemeringkatan ini juga berlaku dengan melihat item-item pada objek yang dijelaskan. Hakikatnya, terdapat begitu banyak antonim yang wujud dalam bentuk perbandingan. Antara contoh mudah yang dapat dijelaskan adalah seperti “jalan lebih lebar daripada lorong”, lorong lebih sempit daripada jalan”, “jalan kurang sempit daripada lorong” dan “lorong kurang lebar daripada jalan”.

Oleh sebab adanya antonim yang melalui proses peningkatan, maka akan wujud perkataan perantara. Misalnya, jika perkataan hot (panas), antonimnya bukan sahaja perkataan cold (sejuk), tetapi juga perkataan hot (hangat) / warm (panas) / cool (dingin) / cold (sejuk) dengan perkataan perantaraan warm (panas) dan cold (dingin) sebagai satu pasangan antonim dengan sendirinya. Hal ini menjelaskan sekali lagi bahawa kata antonim sebenarnya bukanlah mempunyai  satu pasangan  sahaja secara mutlak.

Menurut Abdullah Hassan (2005: 230), antonim berhubungan ialah perkataan yang berlawan makna, tetapi maknanya berhubungan. Antonim berhubungan juga sering disebut sebagai konversi (converses) iaitu hubungan antara dua maujud dari sudut pandangan berganti. Menurut Abdullah Hassan pada buku hasil tulisan F.R. Palmer (1989: 107) menyatakan beberapa jenis perkataan bertentangan  yang berlainan terdapat dalam pasangan perkataan tertentu yang menunjukkan perhubungan yang boleh diterbalikkan di antara butirnya. Terdapat beberapa contoh yang dapat diambil, misalnya “ guru lawan murid”, “turun lawan naik”, “majikan lawan pekerja”, “beli lawan jual”, dan “ suami lawan isteri”.

Pasangan perkataan yang berlawan makna ini menunjukkan adanya perhubungan makna. Selain itu, ayat aktif dan pasif juga boleh menunjukkan hubungan yang bertentangan seperti, jika Ali memukul Abu, maka Abu dipukul oleh Ali. Abdullah Hassan (2005: 231) menambah lagi dengan menjelaskan, perkataan berlawan jenis ini dapat ditimbulkan apabila kita diberi satu daripada perkataannya. Contohnya, apabila kita diberi perkataan penjual, maka kita akan memberi lawannya sebagai  pembeli dan seterusnya.

Dalam konteks antonim berhubungan, istilah kekeluargaan merupakan perkara yang menarik untuk dibincangkan. Hal ini disebabkan oleh dua perkara iaitu, pertamanya, kebanyakkan menunjukkan  bukan sahaja hubungan tetapi juga jantina orang yang berkenaan. Keduanya pula adalah sama ada sesuatu perkataan itu simetris atau tidak, terpulanglah kepada bahasa itu sendiri.

Bagi perkara pertama, dapatlah kita fahami dengan mengambil contoh, bapa adalah lelaki, maka daughter adalah anak perempuan dan hal sebegini menghalang keterbalikan seperti prinsip asal antonim iaitu mampu memiliki sifat kebalikan. Hal ini demikian kerana, jika kita mengatakan Chong bapa kepada Sam, belum sahih lagi Sam itu anak lelaki Chong,  barangkali Sam adalah anak perempuan Chong. Palmer (Abdullah Hassan, 1989: 109) menyebut bahawa dalam konteks ini, terdapat pasangan yang menunjukkan hubungan yang sama tetapi berlainan jantina seperti father / mother, son / daughter, uncle / aunt, nephew / niece. Walaubagaimanapun, ada juga pasangan perkataan yang sepatutnya menjadi simetris tetapi tidak begitu kerana jantinanya.

Perkara kedua pula merujuk simetris dalam makna ayat. Dalam bahasa inggeris, to be married disifatkan sebagai simetris kerana sama seperti spous, ia tidak menunjukkan jantina. Begitulah juga kebanyakkan bahasa tidak mempunyai perkataan simetris. Maka, jantinanya perlu dijelaskan atau kepersisan hubungan antara ibu bapanya juga perlu dijelaskan. Hubungan brother dan sister dalam sesetengah bahasa bukan sahaja terikat dengan jantina, tetapi juga dengan umur anak itu (Abdullah Hassan, 1989: 109)

Sebagai rumusannya, antonim atau kata berlawanan makna dapat dibahagikan kepada bahagian utama iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan antonim berhubungan. Secara amnya, antonim sememangnya difahami sebagai kata berlawanan, namun begitu jika diperincikan mengikut golongan kata seperti kata nama, kata sifat dan kata kerja, maka kita akan mendapati bahawa makna antonim sebagai kata berlawanan, pada hakikatnya tidak bersifat mutlak.

Sebenarnya, terlalu banyak perkataan yang bertentangan atau berlawanan makna, namun kata tersebut lebih menjurus kepada pertentangan kepada makna-makna tertentu. Misalnya, kata nama yang berantonim lebih sesuai dianggap sebagai berpasangan. Kata adjektif pula lebih bersesuaian dengan antonim berperingkat dan dapat dibeza-bezakan bergantung kepada konteks ayat. Antonim jenis yang ketiga pula lebih banyak melibatkan kata kerja yang dikelaskan dibawah antonim berhubungan. Tuntasnya, antonim ternyata salah satu stail pemberian makna secara kaedah tradisional dalam semantik. Sungguhpun begitu, lazimnya antonim hanya diketahui umum sebagai kata berlawanan makna semata-mata.






Thursday, November 20, 2014

CERPEN

Erti Sebuah Kebahagiaan

Kini, aku semakin dewasa dan telah pun berumahtangga. Pengalaman hidup yang telah aku lalui telah mematangkan aku. Aku telah menjadikan kesusahan hidupku sebagai kekuatan dan semangat untuk aku berjaya sehingga menjejakan kaki ke menara gading. Dorongan daripada keluarga dan suami tercinta memberikan sebuah harapan untuk aku mengecapi kebahagiaan itu.

“Sya.. Sya.. kau termenungkan apa tu? Puas aku panggil kau dari tadi. Biar aku teka.. kau mesti teringtkan budak lelaki kelas sebelah tu kan..” Kedatangan Imah telah mengejutkan aku dan sekaligus mematikan lamunan aku yang baru sebentar tadi.

“Ish.. apa yang kau merepek ni Imah. Mana ada aku teringatkan dia. Lagipun siapalah aku ni nak berdiri sama tinggi dengan dia. Dia handsome, pandai, anak orang kaya pulak tu. Mana layak aku untuk dia. Apalah yang ada pada aku ni kalau nak dibandingkan dengan dia tu..” Luah Sya kepada rakannya itu.

Sememangnya rakan karibku yang seorang itu sangat memahami dan mengerti akan perasaanku. Malah dialah tempat untukku meluahkan segala perasaan dan tempat untuk aku melepaskan segala keluhan.

“ Sya.. kau janganlah merendah diri sangat. Allah tu maha adil.. aku yakin satu hari nanti kau mesti dapat jodoh yang baik macam yang kau inginkan, percayalah.. sekarang ni kita fokus kat  pelajaran dulu, lagipun exam dah nak dekat.” Nasihat Imah kepadaku. Namun, aku tidak mampu berkata apa-apa selain mengangguk sahaja.

Aku kini sedang melanjutkan pelajaran di tingkatan 6. Bukan aku tidak mendapat tawaran untuk belajar di tempat lain, tetapi surat tawaran yang aku terima semuannya tiada yang menarik minatku. Justeru, aku memilih untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan 6 sahaja kerana sememangnya aku meminati aliran sastra. Dan, semasa program orientasi yang berlangsung selama 2 minggu itulah hatiku mula tertarik untuk mengenali seseorang jejaka yang telah menggetarkan jantungku setiap kali memandang dirinya sehinggalah kini.

Setelah tamatnya sesi persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Setibanya aku di rumah, suasana begitu sunyi dan sepi memandangkan hanya aku sahaja yang berada di rumah itu. Ibu dan ayahku bekerja mencari rezeki bagi menyara kehidupan kami yang agak dalam kesusahan. Abang dan kakakku pula sedang melanjutkan pelajaran di universiti, manakala adikku yang bongsu bersekolah di sesi petang.

Sedang aku memikirkan kesusahan hidup kami, kata-kata ibuku sering kali berlegar-legar difikiranku. “Ibu tak nak Sya fikir soal teman lelaki, tapi ibu nak Sya fikir masa depan Sya. Ibu nak Sya berjaya, ibu nak anak-anak ibu hidup senang. Ibu tak nak Sya dan anak-anak ibu yang lain hidup susah macam ibu.” Tidak semena-mena air mataku tertumpah jua membasahi pipiku yang gebu itu. Mulai detik itu, aku memasangkan niat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh sehingga berjaya merealisasikan hasrat ibuku. Dan aku berjanji setelah aku berjaya nanti aku akan membalas segala jasa yang telah mereka taburkan untukku dan adik beradikku yang lain.

Peperiksaan STPM sudah semakin hampir, aku telah berusaha menghabiskan masaku dengan mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakanku. Sedang aku menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guruku sebentar tadi, kedatangan Imah telah membantutkan kerjaku.

“Sya.. kau nk tau tak tadi aku jumap siapa?” Soalnya kepadaku. Aku yang sedari tadi hanya berdiam diri sahaja tanpa menjawab pertanyaannya itu. Imah yang hanya memerhatikan aku itu mula geram dengan sikapku kerana aku tidak memperdulikan soalannya sebentar tadi.

“Hey Sya.. aku cakap dengan kau ni.. dengar ke tak..” marahnya kepadaku. “Opss, sorry.. aku dengarlah.. hmm, kau jumpa siapa tadi?” Soal aku kepadanya. “Tadi lepas aku jumpa cikgu Sahlawati kat bilik guru, aku terserempak dengan jejaka idaman kau tu lah. Ghaz.. dia kirim salam kat kau.” Cerita Imah kepadaku dengan senyuman yang masih tak lekang dibibirnya. Tetapi aku hanya mendengar sahaja. “Aku rasakan Sya, si Ghaz tu minat kat kau lah. Cuma, dia malu nak luahkan perasaan dia kat kau je.” Tokok Imah lagi.

“Eh, kau ni memandai je kan.. dia tak cakap pun yang dia suka kat aku.” Aku yang sedari tadi hanya berdiam diri mula bersuara. “Tapi dari apa yang aku tengok, dia memang ada hati kat kau lah. Kau tak perasan ke yang dia suka perhatikan kau? Hmm, sebenarnya kau pun dah lama sukakan dia kan. Cuma kau aje yang suka simpan sorang-sorang.” kata Imah lagi. “Imah, kau tau kan hasrat ibu aku. Aku tak nak hampakan harapan ibu aku.” Luah Sya kepada rakannya itu. Dia hanya diam dan  membisu mendengar jawapanku itu.

Walaupun hatiku gembira mendengarkan cerita Imah itu, tetapi harapan ibuku perlu aku laksanakan terlebih dahulu. Biarlah perasaan ini hanya aku sahaja yang tahu.
                 
                              *          *          *          *          *          *

Kini, sudah 2 tahun aku melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Atas usaha dan kegigihanku di tingkatan 6, aku telah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam STPM dan telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Harapanku untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading telah pun terlaksana.

“Ibu.. ibu.. kakak dapat 4 flat bu.. kakak dah buktikan kat ibu macam yang ibu harapkan” jerit Sya sambil mendapatkan ibunya. “Alhamdulillah.. macam ni lah anak ibu.. ibu percaya yang anak-anak ibu tak pernah hampakan harapan ibu.” Ibu menarik aku kedalam dakapannya. Tidak semena-mena air mataku tertumpah jua. Ayah yang sedari tadi hanya memerhatikan gelagat kami dua beranak berkongsi kegembiraan bersama-sama.

Tepukan di bahuku telah mematikan lamunanku sebentar tadi. Kini, Imah telah pun duduk bertentangan denganku. Kami sememangnya tidak dapat dipisahkan semenjak melanjutkan pelajaran di tingkatan 6 lagi. Kami sama-sama melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

“Eh, Sya.. kau termenungkan apa lagi tu. Jom lah.. kita dah lambat ni.. nanti marah pulak Puan Izayati tu. Kau lupa ke yang kita ada kelas pagi ni sebelum exam minggu depan?” teguran itu membuatkan aku sedikit terkejut dan kembali ke alam nyata. “Eh, jom lah.. aku tunggu kau lah ni.”

Setelah tamat kelas, aku terus melangkah ke perpustakaan yang berhampiran. Pada waktu itu, aku hanya bersendirian memandangkan Imah terpaksa menghadiri perjumpaan persatuan. Sedang aku tekun memerhati setiap buku yang berada di rak, bahu ku telah dilanggar oleh seorang lelaki dan tidak semena-mena buku di dalam pegangan ku terjatuh.

“Err.. saya mintak maaf..” lembut suara lelaki itu sambil menghulurkan buku kepada ku. Sewaktu aku ingin mengambil buku yang berada dihulurannya itu, mata kami saling memandang antara satu sama lain dan seperti terpukau. Aku seperti mengenali lelaki itu. Dialah lelaki yang menjadi pujaan hatiku empat tahun yang lalu. Namun, tidak mungkin kini dia berada dihadapanku. Dan saat itu juga, hatiku mula berdebar-debar bila terpandangkan wajahnya.

“Terima kasih.” Hanya dua perkataan itu sahaja yang mampu aku ungkapkan. Tanpa membuang masa aku ingin berlalu tetapi lenganku terlebih dahulu  dipaut oleh lelaki itu. “Sya.. awak dah tak ingat kat saya lagi? Walaupun dulu masa kat tingkatan 6 awak cuba jauh dan mengelakkan diri daripada saya, tapi saya tak pernah pun lupakan awak. Puas saya cari awak, dan tak sangka saya dipertemukan sekali lagi dengan awak dekat sini.” Lembut budi bicaranya.

Aku tidak dapat menahan sebak setelah mendengar kata-kata yang baru sahaja diungkapkannya sebentar tadi. Aku menarik tanganku yang berada digenggamannya itu. Mulutku seakan terkunci. Tetapi aku cuba juga untuk berhadapan dengannya kini. “Saya mintak maaf. Saya tak ada niat nak jauhkan diri daripada awak. Saya buat semua tu sebab saya tak nak hampakan harapan ibu saya. Dia tak nak saya main-main dalam pelajaran. Dia nak saya berjaya. Tapi dalam masa yang sama, saya jugak sentiasa berharap agar suatu hari nanti Allah akan pertemukan saya dengan awak.”

Setelah itu, kami berdua beriringan keluar dari perpustakaan dan menuju ke taman mini yang terdapat di universiti tersebut. Kami berdua saling bercerita tentang kisah hidup kami berdua. Selepas daripada pertemuan tersebut, hubungan kami berdua semakin rapat dan akrab sehingga menjadi tumpuan kepada beberapa orang pelajar di universiti itu apabila melihat kemesraan kami berdua.

“Ehem.. ehem..” Bunyi deheman seseorang secara tiba-tiba mengejutkan aku. “Amboi.. yang kau senyum sorang-sorang ni dah kenapa? Dah macam orang angau aje aku tengok. Aku tau lah kau tengah bercinta sekarang ni. Orang lain pun bercinta jugak, tapi tak ada lah macam kau ni..” Berkerut dahiku mendengar setiap butir kata rakan karibku itu.

“Tapi aku suka sangat tengok kau bahagia sekarang ni. Sekurang-kurangnya kau dah jumpa balik dengan jejaka idaman kau tu..”

“Alhamdulillah.. aku pun tak sangka yang aku akan jumpa balik dengan dia dekat sini. Kecil betul dunia ni kan..”

“Kalau dah jodoh tak kan ke mana Sya.. Sejauh mana pun kau pergi, Allah mesti akan pertemukan kau dengan dia balik. Sekarang ni nampaknya cuma aku aje lah yang tak ada pasangan.” Imah membuat muka simpati.

“Bukan tak ada orang nak kat kau, kau aje yang jual mahal. Kesian tau kat Shahrul tu. Dah lama dia tunggu kau.” Imah menjuihkan bibirnya mendengarkan kata-kataku itu.

“Sya.. aku bukan tak nak terima dia, Cuma aku nak tengok sejauh mana keikhlasan dia terima kekurangan diri aku. Kalau dia memang nak aku jadi suri di hati dia, mesti dia tak akan berputus asa untuk dapatkan aku.”

Mendengarkan kata-kata Imah itu tidak mampu untuk aku berkata apa-apa melainkan mengangguk sahaja. Perangai rakanku yang seorang itu memang begitu. Ada sahaja alasan yang diberikan apabila aku menyebut nama lelaki yang pernah menjadi sebahagian hidupnya suatu ketika dahulu. Aku tahu dia masih menyayangi lelaki itu. Doaku hanya satu, moga dia akan berbahagia dengan lelaki itu suatu hari nanti.
                 
                              *          *          *          *          *          *

Kini, aku sudah pun memiliki segulung ijazah daripada Universiti Malaya. Kedua-dua orang tuaku sangat berbangga dengan kejayaanku itu. Aku telah menjadi seorang pensyarah di salah sebuah universiti tempatan. Manakala, abangku telah berkhidmat sebagai akauntan dan kakakku pula sebagai doktor di salah sebuah hospital swasta. Kini, hanya adik bongsuku sahaja yang masih mengikut jejak langkahku di Universiti Malaya.

Ibu bapaku kini hanya menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama anak dan cucu-cucu mereka. Kegembiraan ibu bapaku sering kali terukir dibibirnya atas kejayaan anak-anak mereka.

“Ibu bangga sangat dengan anak-anak ibu. Semuanya dah berjaya.” Lembut ibu bersuara.

“Ibu.. kejayaan kami semua atas pengorbanan ibu dan ayah dalam mendidik kami. ” aku menarik ibu dan ayah ke dalam dakapanku.

“Kami adik beradik berhasrat untuk hantar ibu dan ayah ke tanah suci hujung tahun ni. Segala urusan dah kami uruskan. Ibu dengan ayah cuma perlu sediakan barang-barang keperluan untuk ke sana sahaja.”

Ibu dan ayah merenung wajah anak-anak mereka satu persatu. Tidak semena-mena air mata mereka menitis jua akhirnya tanda kesyukuran dan kegembiraan atas perkhabaran yang mereka baru sahaja dengar dari kakak dan abangku itu. Menghantar ibu dan ayah ke tanah suci merupakan hasrat kami sejak dahulu lagi sebagai tanda kami untuk membalas jasa mereka berdua.

Sebelum ibu bapaku pergi ke tanah suci, Ghaz telah menghantar rombongan meminang dan dalam waktu yang sama aku telah sah menjadi tunangnya. Majlis akad nikah kami akan berlangsung selepas ibu bapaku pulang dari tanah suci. Pada waktu itu, hatiku mula diruntum rasa sebak disebabkan terlalu gembira kerana akhirnya aku dapat membina sebuah hubungan yang lebih bermakna bersamanya.

Aku juga turut gembira kerana akhirnya rakan karibku Imah kini telah menjadi isteri Shahrul. Kehidupan mereka kini lebih bermakna dengan kehadiran anak sulung mereka yang diberi nama Hannah Maryam.

Akhirnya, kini aku sungguh bahagia kerana dapat merealisasikan hasrat kedua-dua orang tuaku serta dapat membina hubungan yang lebih bermakna dengan pujaan hatiku itu. Sesungguhnya manusia sememangnya tidak tahu apa yang tersurat dalam takdir. Perancangan Allah adalah yang terbaik.


                                                                 ~Tamat~

                                                                                                                        Karya Seni,
                                                                                                                        Noor Shahlinda